Terkini
  • Terkini

    Sabtu, 27 Disember 2008

    REMAJA KITANI PERLU LEBIH BIJAK

    Remaja yang memiliki asas ilmu Islam yang baik tidak mempunyai masalah untuk memanfaatkan sumber-sumber dari Barat atau Timur sekiranya para remaja dapat membezakan buruk-baik akan sesuatu dan dapat mengenal sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya.
    Teknologi komputer umpamanya adalah sesuatu yang baik untuk di pelajari. Dari sudut perkakasan (hardware) dan teknologinya tidaklah ada masalah bagi remaja mempelajarinya. Tetapi apabila menggunakannya sistem nilai dan kekuatan agama adalah perlu bagi memandu remaja melayari yang baik dan menghindarkan yang tidak berfaedah.

    Yang memberikan perbezaan dari segi penggunaan ialah sistem nilai dan etika yang dimiliki oleh remaja. Sekiranya sistem nilai dan etika itu lahir dari penghayatan tradisi Islam, maka para remaja akan memiliki kekuatan serta berupaya memilih dan menyaring sesuatu yang bermanfaat atau sebaliknya.

    Dalam masa yang sama, remaja harus rasa tercabar untuk meneroka dan menghasilkan perisian yang selari dengan proses pembudayaan dan pemikiran yang sejalan dengan nilai-nilai Islam. Ia adalah proses yang tidak mudah dan menuntut masa yang lama dan panjang kerana sifat teknologi dan maklumat selalunya dinamik dan tidak statik. Ia adalah suatu usaha yang berterusan.

    Cara sebegini jugalah yang pernah berlaku di Eropah dalam proses memanfaatkan ilmu-ilmu Islam di kalangan sarjana mereka. Walaupun mereka menguasai bahasa di mana ilmu Islam itu lahir dan tumbuh tetapi sumber ilmu ditatang dengan menggunakan bahasa Latin dan Ibrani dan dewasa dalam kehidupan zaman reformasi dan Renaissance sehingga menjadikan ilmu itu terpisah dengan sistem nilai dimana ilmu itu asalnya subur. Lama kelamaan ilmu itu menjadi sekular dan berkembang secara liberal tanpa terikat dengan nilai-nilai agama.

    Remaja Islam harus mempunyai tekad untuk menguasai ilmu-ilmu Islam dengan baik sehingga dewasanya nanti memiliki keahlian dan kepakaran dalam bidang-bidang yang tertentu. Kesediaan dan keterbukaan perlu ada untuk memanfaatkan faedah-faedah berbanding dalam ilmu-ilmu dari sumber dan tamadun lain supaya akhirnya ilmu tersebut berkembang dalam orientasi dan budaya Islam.

    Inilah asas-asas integrasi dan Islamisasi yang sedang berlaku supaya ilmu-ilmu yang bermanfaat terbentuk dalam acuan kita sendiri. Darinya umat Islam akan menjadi maju di samping keunggulan ilmu dan tamadunnya sendiri. Penyuburan ilmu-ilmu Islam seharusnya berlaku supaya ia menjadi teras membangun acuan sendiri yang sifatnya menyumbang dan memperkayakan.

    Semoga golongan remaja kitani lebih peka dengan pembangunan Teknologi maklumat ini serta merebut peluang ini agar tidak ketinggalan dalam pelbagai bidang.

    Dirujuk dari pemikiran Prof.Dr Sidek

    • Blogger Comments
    • Facebook Comments
    Item Reviewed: REMAJA KITANI PERLU LEBIH BIJAK Rating: 5 Reviewed By: Achun R
    Scroll to Top