Terkini
  • Terkini

    Isnin, 26 Januari 2009

    AHLI MASJID

    Maksud Firman Allah Ta’ala :
    “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”
    (Surah At-Taubah, ayat 18)

    Memakmurkan atau mengimarahkan masjid memberi pengertian yang amat luas. Ianya bukan hanya sekadar cukup dengan hadir solat berjamaah 5 kali sehari bahkan apa sahaja perkara yang berbentuk amal kebaikan yang dilakukan di masjid dikira sebagai perbuatan mengimarahkannya. Mengadakan majlis bacaan Al-Quran, majlis ilmu, iktikaf, program agama dan majlis zikir antara contoh yang popular di kalangan umat Islam di Malaysia. Namun terkadang angkara tuduhan bida’ah yang tiada asas ilmu, banyak perkumpulan kaum muslimin makin terkambus.

    Hasil daripada pengimarahan inilah akan melahirkan masyarakat yang betul-betul beramal dan berakhlak mulia, melembutkan hati yang keras juga mengukuhkan keutuhan kerjasama sesama Islam. Penyatuan yang hanya mampu dipupuk hasil daripada rahmat dari Allah Ta’ala.

    Nabi saw bersabda yang bermaksud :
    ‘Apabila kamu melihat seseorang lelaki berulang alik ke masjid maka bersaksilah bahawa dia merupakan seorang yang beriman.’

    Disyariatkan selepas hijrah, solat berjamaah 5 kali sehari merupakan perkumpulan yang hanya ada dalam agama Islam. Ianya satu simbolik komitednya kaum muslimin dengan arahan Allah swt dan tanda kesatuan umat Islam.
    Ulama’ berselisih pendapat mengenai hukum solat berjemaah. Ada yang mengatakan ianya wajib, ada juga yang mengatakan fardu kifayah, sunat muakkad, bahkan terdapat pendapat yang ianya merupakan salah satu daripada rukun solat.
    Namun pendapat mazhab Syafie, solat berjamaah hukumnya sunat muakkad (sangat dituntut). Justeru sesiapa yang melakukannya akan mendapat ganjaran besar dari Allah Ta’ala. Bagi ulama mazhab Maliki dan Hanafi hukumnya sunat muakkad, manakala bagi ulama mazhab Hanafi hukumnya wajib.
    Sebenarnya pertikaian pendapat ini hanyalah pada hukum solat berjamaah, namun pastinya kita sepakat bahawa ganjaran yang besar menanti bagi yang melaksanakannya. Hanya yang celik akhirat akan mencari punca redha Allah swt.

    Betapa besarnya tuntutan berjamaah hinggakan Allah Ta’ala menyuruh ianya ditunaikan sekalipun dalam keadaan takut ketika dalam peperangan (solat khauf). Satu sindirin halus kepada kitani bahawa dalam keadaan aman ianya lebih aula (utama) untuk dilaksanakan. Pernah satu ketika nabi saw mengugut untuk membakar rumah orang yang tidak hadir solat berjemaah, menunjukkan bahawa besarnya ibadat ini dalam agama.
    Di mana kitani bila masjid makin menyepi ?
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments
    Item Reviewed: AHLI MASJID Rating: 5 Reviewed By: Achun R
    Scroll to Top