Terkini
  • Terkini

    Jumaat, 20 November 2009

    Binatang Korban dan Pembahagian

    Ibadat korban membabitkan penyembelihan binatang khusus seperti unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing dilakukan pada Hari Raya Haji hingga akhir hari Tasyrik (13 Zulhijjah), selama empat hari. Daging sembelihan disedekahkan kepada fakir miskin dan mereka yang layak menerimanya. Ibadat korban adalah sunat muakkad (dituntut) bagi mereka yang berkemampuan.

    Hadis Aishah bahawa Nabi SAW bersabda, “Tiada amalan anak Adam pada hari raya haji yang lebih disukai Allah selain menumpahkan darah dengan menyembelih binatang korban kerana ia akan menjadi binatang tunggangan pada hari Kiamat.

    Bahawasanya Allah menerima amalan ibadat seseorang sebelum titisan pertama darah korban menitis ke bumi. Setiap helaian bulu binatang korban serta tanduknya dikira satu kebajikan. (Hadis Tirmizi,Gharib).

    Apa yang penting ialah niat yang ikhlas ketika melakukan ibadat berkenaan.

    Bagi memastikan sumber halal sebagai syarat, mereka yang berkorban perlu menjaga tuntutan syarak seperti memastikan kesihatan binatang korban, menjadikan warna putih sebagai pilihan utama, kuning, kelabu bercampur putih atau hitam jika memungkinkan, menyegerakan sembelihan iaitu selepas solat sunat Aidiladha, bertakbir dan berdoa serta menjaga tatatertib ketika melakukan sembelihan.

    Hadis dari Abu Said Al Khudri bahawa Nabi SAW menyembelih seekor kibas jantan, bertanduk lagi sihat. (Hadis Tirmizi, Hasan Gharib). Binatang yang terbaik dikorbankan ialah unta, kemudian lembu, kibas dan kambing. Korban boleh dikongsi tujuh orang bagi lembu dan unta dan seorang saja bagi kambing atau biri-biri.

    Ada pendapat membolehkan sepuluh bahagian bagi unta saja kerana Ibnu Abas pernah meriwayatkan hadis mengenai perkara itu. Daging korban disunatkan:
    1. disedekah satu pertiga,
    2. dihadiahkan satu pertiga
    3. menyimpan satu pertiga.

    Ada pendapat mengatakan harus dimakan separuh dan disedekahkan separuhnya. Harus bagi orang yang kaya menerima korban sebagai hadiah mengikut pendapat Imam Ahmad.

    Penulis ialah Eksekutif Unit Agama NSTP, boleh dihubungi melalui e-mel: zaman@nstp.com.my
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 KOMEN:

    Catat Ulasan

    Komen bisdikita di sini tapi usai-usai pulang

    Item Reviewed: Binatang Korban dan Pembahagian Rating: 5 Reviewed By: Omarali Matjais
    Scroll to Top