Terkini
  • Terkini

    Isnin, 16 Mei 2011

    Banyak Cakap Banyak Kelemahan

    Ketika melayari FB beberapa hari ini, saya terbaca Pentadbir Punang.com berkempen memerangi fitnah dan mengumpat dalam internet. Jiwa dan perasaan saya terpanggil untuk sama-sama berkempen dan menyokong apa yang diserukan oleh Pentadbir Punang.com itu.
    Sebagai insan biasa pastinya kita tidak boleh lari melakukan kesalahan dan kesilapan, kerana manusia bukanlah malaikat yang Allah jadikan cukup sempurna. Namun begitu Rasulullah s.a.w. telah mewariskan kepada kita Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan hidup kita, maka jika kita tersesat, terlalai, terlupa, tersilap dan sebagainya maka kembalilah kepada Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w.

    Islam amat menuntut umatnya supaya berhati-hati ketika berkata-kata kerana jika kita banyak bercakap banyaklah kesalahan yang mungkin kita luahkan. Menjaga lidah daripada menuturkan kata-kata tidak berfaedah, cakap kosong, mengumpat keji dan mengadu-domba, amatlah dituntut dalam Islam. Bukanlah kita tidak dibenarkan bercakap, tetapi jika terlalu banyak bercakap, tentulah banyak juga kesalahan yang bakal terkeluar daripada percakapan itu, dan natijahnya, banyaklah juga dosa.

    Pesan Rasulullah yang bermaksud:

    “ Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.”
    (riwayat At-Tarmizi)

    Imam Nawawi juga ada perpesan, kita wajar menjaga lidah daripada sebarang cakap sia-sia, kecuali jika cakap itu mendatangkan kebaikan, apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka lebih baiklah berdiam diri.

    Yang pasti, jika tidak ada lagi yang hendak diperkatakan, eloklah berdiam diri saja. Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak hendaklah diam”.

    ( riwayat Bukhari dan Muslim).


    Sebagai umat Islam kita mesti ingat tentang 5 perkara yang patut disebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani kehidupan ini. Nabi Muhammad S.A.W. pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:-

    1. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk: sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit, kita puji habis-habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan, kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Alhamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sendawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelerekan hingga ke hati.

    2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia: Dunia terlalu sedikit dibandingkan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

    3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan: kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak diusahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Ali bin Abi Thalib dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga baginya. Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa ini.

    4. Jangan menyebut-nyebut kebaikkan diri dan keluarga: Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam ‘bertelur sebiji riuh sekampung’. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikkan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan riya’ atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifat-Nya (riya’) tidak akan mencium bau syurga. Riya’ adalah satu unsur dari syirik (Khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik, jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang yang baik. Bukannya mendabik dada mengatakan kita orang yang baik. Kita terlupa kepada Allah yang mengurniakan kebaikan itu.
    5. Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain: kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua ‘kuman diseberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan’. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang: satu jari ke arah orang itu tapi empat jari lagi menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri bukannya keburukan orang lain. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatlah kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

    Semoga lima perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Dengan menghayati dan menyematkan dalam hati lima perkara itu insyaAllah kita akan dapat menghindari diri kita mengeluarkan perkataan yang sia-sia dan tidak berfaedah serta menjaga tingkahlaku dan perbuatan kita. Sama-samalah kita berdoa semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin…..
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    7 KOMEN:

    1. Syabas! !! Alhamdulillah Article diatas sungguh berkualiti tinggi.Saya sangat bersetuju dgn point yg disampaikan serta patut dihayati oleh Umat Islam kitani khususnya.Teruskan menulis untuk Ilmu yg dapat kita kongsi bersama.

      BalasPadam
    2. Alhamdullillah. Good one. Keep going

      BalasPadam
    3. Saya sokong penuh dengan pengunaan Fb ni yang banyak keburukan daripada membuat kebaikan. Sebabnya salah guna oleh orang2 yang tidak bertanggung jawap. Zul.

      BalasPadam
    4. Assalamualaikum .. mohon copy:) syukran :)

      BalasPadam
    5. Assalamualaikum mohon copy

      BalasPadam
      Balasan
      1. Waalaikum salam Qiya, silakan

        Padam

    Komen bisdikita di sini tapi usai-usai pulang

    Item Reviewed: Banyak Cakap Banyak Kelemahan Rating: 5 Reviewed By: Punang News
    Scroll to Top