Terkini
  • Terkini

    Sabtu, 20 Ogos 2011

    Kupasan amalan dan perbuatan pada Hari Raya

    Artikel ini merangkumi beberapa aspek dan konsep mengenai hari raya. Pada hari ini kita semua tahu semua umat Islam merayakan Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Korban. Sudah menjadi kebiasaan kepada umat Islam untuk menjalani hari raya itu dengan beberapa amalan atau perbuatan yang biasa dilakukan pada hari raya, namun begitu adakah mereka benar-benar memahami dan menghayati apa yang mereka lakukan itu.
    Oleh yang demikian artikel ini saya bawakan khusus mengupas beberapa amalan atau perbuatan yang biasa dilakukan pada hari raya, agar kita benar-benar memahami dan menghayati apa yang dilakukan, supaya apa yang kita lakukan itu bukan atas dasar ikut-ikut saja, kita kata emak dan ayah kita buat maka kita pun buat atau orang lain buat tak kan kita tak buat. Tetapi apa yang kita buat itu haruslah dengan ilmu pengetahuan dan penghayatan dan disertai dengan keikhlasan, maka barulah perbuatan kita itu benar-benar memberi impak yang baik dan berguna kepada kita dan orang sekeliling kita.

    SEJARAH SAMBUTAN HARI RAYA

    Sewaktu Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, baginda dapati penduduk Madinah termasuk yang sudah memeluk agama Islam, pada setiap tahun merayakan hari raya Nainuz dan Majrajan. Baginda bertanya kepada kaum Muslimin yang turut merayakannya. “ Hari apakah ini? ” Jawab mereka, “ Hari raya kami. Pada hari itu kami bersuka ria dan bergembira sejak zaman jahiliah lagi.” Baginda lalu bersabda, “ Sesungguhnya Allah telah menggantikan dua hari raya yang lebih baik daripada kedua-duanya iaitu Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha.”

    Umat Islam pertama kali menyambut Aidilfitri pada tahun pertama hijrah.

    Amalan Sunat Pada Hari Raya

    Sewaktu menyambut hari raya ini, beberapa amalam sunat elok dilakukan, terutama sebelum kita pergi mengerjakan solat hari raya:

    • Mandi sunat hari raya
    • Berhias dengan pakaian yang sebaik-baiknya dan memakai bau-bauan.
    • Disunatkan makan dahulu sebelum pergi sembahyang Hari Raya Fitrah. Namun pada Hari Raya Adha disunatkan pula makan selepas mengerjakan solat
    • Mengambil jalan yang berlainan semasa pergi dan pulang daripada mengerjakan solat hari raya
    • Bertakbir di pagi raya

    HUBUNGAN ANTARA ZAKAT FITRAH DAN HARI RAYA

    Sebelum menyambut ketibaan Syawal, terlebih dahulu umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah. Zakat fitrah disyariatkan sebagai satu amalan untuk mensucikan orang yang berpuasa dalam bulan Ramadhan daripada perbuatan dan perkataan kosong serta sia-sia, dan untuk memberi kegembiraan kepada orang-orang miskin dan menyambut hari raya.

    Melalui zakat fitrah, orang-orang kaya dapat melahirkan kesyukuran dengan mengeluarkan sebahagian hartanya untuk diagihkan kepada orang miskin, manakala orang-orang miskin menerima agihan zakat dengan penuh rasa syukur dan perasaan gembira kerana mereka juga dapat bersama-sama umat Islam lain menyediakan pakaian baru untuk anak-anak dan menikmati juadah istimewa sempena kedatangan hari yang mulia itu.

    Kesyukuran dan kegembiraan yang dirasai oleh kedua-dua golongan ini menjadikan sambutan hari raya membawa erti yang besar sama ada bagi orang-orang kaya atau orang-orang miskin.

    TAKBIR HARI RAYA

    Takbir ialah satu cara kita melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana telah memberi hidayah kepada kita. Kalimah-kalimah yang terangkum di dalam takbir hari raya juga dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT melalui zikrullah. Takbir, tahmid, tahlil dan memperbaharui ikrar tauhid. Firman Allah SWT bermaksud,

    “ Dan hendaklah kamu membesarkan Allah, kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.” ( Al-Baqarah:185)

    Manakala Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

    “ Sesiapa menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati akan mati (hari kiamat).” ( Riwayat Tabrani dari Ubadah bin Soib )


    Takbir raya tentunya perlu diucapkan dengan penghayatan di dalam hati. Apakah yang harus terasa di hati waktu kita melafazkan takbir raya itu?

    1. Rasa syukur sebab sudah berjaya melawan hawa nafsu.
    2. Rasa bimbang kalau-kalau puasa kita tidak diterima oleh Allah SAW
    3. Rasa bimbang kalau-kalau tahun depan tidak dapat lagi berpuasa, jadi kita merayu pada Allah agar diterima puasa kita.
    4. Kita mengharapkan bantuan Allah SAW supaya hati kita dalam keadaan sentiasa membesarkan-Nya.

    Ini sesuai dengan firman Allah SAW :

    “ Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (puasa) dan hendaklah kamu bertakbir kepada Allah (membesarkan-Nya ) atas petunjuk-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

    (Al-Baqarah: 185)

    Jika takbir hari raya Aidiladha sunat diucapkan selepas solat hari raya, tetapi takbir hari raya Aidilfitri disunatkan pada malam dan pagi raya dan boleh diucapkan sambil berjalan, sambil memasak, sambil membeli barang keperluan di pasar dan sebagainya. Yang penting, waktu bertakbir itu terbit rasa syukur, bimbang dan rasa harap di hati.


    TUNTUTAN SOLAT HARI RAYA

    Semua umat Islam dituntut keluar beramai-ramai ke masjid untuk beribadah, bertakbir dan bertahmid, menunaikan solat, mendengar nasihat dan bersedekah. Asim meriwayatkan daripada Hafsah daripada Ummu Atiyyah katanya:

    “ Kami diperintah keluar pada hari raya sehingga kami mengeluarkan anak-anak gadis dari pingitan mereka, sehinggakan perempuan haid pun kami keluarkan, lalu mereka duduk di belakang orang ramai. Maka bertakbir sama dengan takbir mereka, mereka berdoa bersama-sama dengan doa mereka mengharapkan keberkatan dan kesucian hari tersebut.”
    (Fath al-Bari 11:535)

    Menurut riwayat Ibnu Aun daripada Muhammad katanya:

    “ Kata Ummu Atiyyah, ‘ …Adapun perempuan haid, mereka hadir ke tempat jemaah muslimin dan turut berdoa dengan mereka tetapi mengasingkan diri daripada tempat solat mereka.”
    (Fath al-Bari 11:544)



    AMBIL KESEMPATAN BERMAAFAN

    Hari raya adalah satu kesempatan yang patut diambil untuk saling bermaafan dan bersamlam-salaman tetapi bersalaman antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tetap tidak dibolehkan. Jangan kerana menyangka bersalaman itu satu kemestian untuk dapatkan kemaafan, lelaki perempuan yang bukan mahram pun bersalaman!

    Kata Ustaz Zawawi Yusoh “ Bermaafan tidak semestinya dengan cara bersalaman, memang disunatkan bersalaman apabila dua orang Islam bertemu kerana waktu bersalaman, jatuh dosa-dosa setiap seorang daripada mereka.”

    Sempurnanya ibadah puasa, apabila bertemu, kita rela memaafkan orang. Ibadah boleh menghapuskan dosa-dosa kita dengan Allah, tetapi hari raya kita ambil kesempatan menghapuskan dosa-dosa sesama manusia. Namun begitu dalam konsep bermaafan ini janganlah menunggu hari raya barulah nak meminta maaf, sepatutnya jika rasa kita ada kesalahan maka teruslah meminta maaf kepada pihak yang berkenaan.

    SUKA DIKUNJUNGI DAN SUKA MENGUNJUNGI

    Ambil kesempatan hari raya ini untuk saling kunjung-mengunjungi. Saling bertemu di hari raya tentulah seharusnya dalam suasana kemesraan. Ketika tangan berjabat salam, hati pun bertaut mesra, lalu terpancar kejernihan di muka. Jika setiap orang mengutamakan hubungan silaturrahim, masing-masing gembira untuk bertemu dan tidak meletakkan syarat untuk saling menziarahi. Ziarah-menziarahi ini tidak semestinya yang muda patut menziarahi yang lebih tua atau sebaliknya. Atau orang miskin patut menziarahi orang kaya atau sebaliknya tetapi kunjung-mengunjungi untuk mengiratkan silaturrahim yang diniatkan kerana Allah. Dan jangan ada niat kunjung-mengunjungi ini dengan niat untuk dapatkan duit raya atau hendak melihat juadah apa yang disediakan dan sebagainya. Namun begitu untuk mengembirakan hati orang-orang disekelilling kita tidak salah untuk menghulurkan duit raya terutama kepada kanak-kanak, ibu-bapa, datuk-nenek dan orang-orang tua.

    Rasulullah SAW bersabda, “ Apakah tidak lebih baik aku beritahukan sesuatu yang dengannya Allah meninggikan gedung-gedung dan mengangkat darjat seseorang?” Para Sahabat menjawab, “Baik, ya Rasulullah.” Rasulullah SAW bersabda:

    • “ berlapang dadalah engkau terhadap orang yang memperbodohkan engkau.”

    • “ Engkau suka memberi maaf kepada orang yang telah menganiaya engkau.”

    • “ Engkau suka memberi kepada orang yang tidak pernah memberikan sesuatu kepada engkau.”

    • “ Engkau mahu bersilaturrahim kepada orang yang telah memutuskan hubungan dengan engkau.”

    (Riwayat Thabrani)

    Inilah indahnya hari raya. Hati setiap umat Islam lebih terbuka untuk memberi dan menerima. Kalau tidak berlaku demikian, hari raya tidak akan indah walaupun di mana-mana ada majlis rumah terbuka.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 KOMEN:

    Catat Ulasan

    Komen bisdikita di sini tapi usai-usai pulang

    Item Reviewed: Kupasan amalan dan perbuatan pada Hari Raya Rating: 5 Reviewed By: Punang News
    Scroll to Top