Terkini
  • Terkini

    Selasa, 15 Januari 2013

    Pepatah Jangan jaga tepi kain orang lain.

    Orang Melayu termasuk Melayu Brunei, memang kaya dengan pepatah atau simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan sebagainya. " Jangan jaga tepi kain orang lain" salah satu pepatah atau simpulan bahasa yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat Melayu.

    Pada keseluruhannya pepatah Melayu mampu menjadi penasihat dan pemangkin kebaikan masyarakat Melayu tetapi pepatah yang tercatat di atas nampaknya tidak mampu berperanan demikian, malah bercanggah pula dengan ajaran Islam yang sentiasa menyuruh umatnya berpesan-pesan ke arah kebaikan dan menyeru ke arah kebaikan serta menyarankan supaya mewujudkan kumpulan manusia yang sentiasa menyeru kepada kebaikan dan makruf, dan mencegah kemungkaran.

    Sebaliknya yang dilarang oleh Islam ke atas umatnya ialah perbuatan mengganggu, mengacau dan merosakan orang lain. Manakala perbuatan yang diartikan sebagai menjaga, memelihara, melindungi untuk kebaikan adalah digalakkan. Malah Surah Ali.Imran ( ayat 104 ) bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung".

    Jangan jaga tepi kain orang lain. Simpulan bahasa ini membawa maksud melarang kita membantu orang lain, membuat kebaikan kepada orang lain, menolong orang lain dan menegur kesalahan orang lain, semata-mata takut orang berkenaan tidak menerima kebaikan dan teguran atau pertolongan kita , lantas dibiarkan sahaja walaupun akibatnya kita telah mengetahui bahawa orang berkenaan akan menerima kaburukan dan kemusnahan terhadap dirinya dan keluarganya serta akhirnya akan merebak pula kepada masyarakat.

    Atas prinsip tidak mahu menjaga tepi kain orang lain maka wujudlah masyarakat Melayu yang tidak proaktif dalam masyarakat sekampung atau setempat dan berjiran. Maka jadilah mereka seperti enau dalam belukar melepaskan pucuknya masing-masing.Kehidupan yang sejahtera memerlukan kehidupan yang bersifat bantu membantu seperti aur dengan tebing.

    Islam juga menyuruh umatnya memberi pertolongan pada perkara kebaikan dan taqwa dan melarang umatnya memberi pertolongan antara satu sama lain pada perkara yang menyebabkan berdosa dan permusuhan.
    Gambar Hiasan

    Kepatuhan kepada pepatah ini telah menghasilkan anggota masyarakat yang pentingkan diri sendiri dan menyebabkan mereka tidak lagi hormat menghormati; orang muda tidak menghormati yang lebih tua, remaja melakukan salah laku di tempat yang berjauhan dengan ibu bapa dan tidak lagi menghiraukan orang di sekelilingnya dan tidak perlu risau teguran orang dewasa yang bukan saudara mara mereka , anak muda menghisab dadah, rempit motorsikal berkumpulan di jalan raya, lepak dan melakukan aktiviti yang tidak sihat dan seumpamanya.

    Maka wujudlah gejala sosial yang merosakkan kehidupan masyarakat yang rukun damai selama ini dan beralih pula kepada apa yang sedang kita alami sekarang. Gejala tersebut adalah di antara hasil anutan masyarakat kini terhadap pepatah yang tidak berfaedah tersebut.

    Nampaknya kepatuhan kepada pepatah ini perlu diabaikan demi kebaikan masyarakat kita, khasnya untuk kebaikan genarasi akan datang.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 KOMEN:

    Catat Ulasan

    Komen bisdikita di sini tapi usai-usai pulang

    Item Reviewed: Pepatah Jangan jaga tepi kain orang lain. Rating: 5 Reviewed By: Omarali Matjais
    Scroll to Top