Terkini
  • Terkini

    Isnin, 27 Mei 2013

    Pembuangan Bayi, Salah Siapa?


    SEORANG ibu sebenar sayang pada anaknya. Mereka tidak mampu tidur dan sanggup berlapar kerana anakanak mereka. Tetapi, bagaimana dengan segelintir ibu yang “membunuh anaknya? Inilah berita yang panas dibincangkan – pembuangan bayi. Orang yang membuang bayi, sebenarnya menafikan peluang dan hak untuk hidup bagi bayi itu.
    Sedih untuk kita saksikan sendiri, perlakuan masyarakat yang bertamadun ini, membuang anak atau bayi bagaikan membuang najis atau sampah yang tidak ada nilainya. Yang membimbangkan kita ialah jenayah ini bukan hanya berlaku di bandar-bandar besar, bahkan dilaporkan berlaku juga di kawasan kampung dan luar bandar. Bayi-bayi juga pernah dilaporkan dibuang di dalam tandas sekolah dan premis menara gading institusi pengajian tinggi.

    “Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap). Dan apabila bintangbintang gugur berselerak. Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu). Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar. Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan. Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur. Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya. Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: Ditanya.

    Dengan dosa apakah dia dibunuh? Dan apabila catitan- catitan amal dibentangkan. Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya. Dan apabila Neraka dinyalakan menjulang. Dan apabila Syurga didekatkan. (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.” (at-Takwir: 1-14)

     Walaupun data ini adalah data yang lama, namun kita perlu mengambil iktibar daripadanya. Daripada statistik pembuangan bayi yang dikeluarkan oleh pihak PDRM, antara 2000 sehingga 2006, dilaporkan sebanyak 580 bayi dibuang, majoriti iaitu seramai 532 bayi atau 92 peratus adalah bayi baru lahir, sementara 48 bayi adalah masih dalam keadaan janin.

    Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia pula, mencatitkan peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan iaitu dalam tahun 2006 sebanyak 53 kes, 2007 sebanyak 76 kes, dan dalam 2008 sebanyak 102 kes. Ini kes-kes yang dilaporkan. Wanita yang hamil sepatutnya mendapatkan jagaan rapi daripada keluarganya, demi untuk kesihatannya sebagai ibu dan anak yang bakal dilahirkan. Mereka yang secara sengaja menyembunyikan kehamilan mereka sebenarnya berhadapan dengan risiko yang tinggi termasuk keguguran janin atau bayi yang mereka kandung. Golongan ibu yang istimewa ini hendaklah bertanggungjawab terhadap kesihatan diri mereka sendiri dan bukannya mempertaruhkan nyawa mereka melalui kehamilan dan kelahiran secara bersendirian.

    Islam memuliakan wanita yang hamil ini dengan memuatkan kisah Mariam yang mengandung Nabi Isa, supaya umat manusia mengambil iktibar, bahawa sesungguhnya wanita yang mengandung adalah istimewa, dan Allah membantu Mariam dengan buah tamar yang ranum bukan pada musimnya dan air yang segar untuk diminum. “Maka Mariam hamillah mengandungnya, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.

    (Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang- kenang! Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya: Janganlah engkau berdukacita (wahai Mariam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

    Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.“ (Mariam: 22- 26)

     Memang ada langkah-langkah pencegahan yang telah diambil oleh semua pihak, namun masih ada kelompok masyarakat yang terjerumus mengamalkan gaya hidup seksual berisiko tinggi.

    Pergaulan bebas yang berakhir dengan perzinaan seringkali mengakibatkan kehamilan yang tidak dikehendaki. Golongan yang selesa dengan amalan jahiliah ini juga tega melakukan jenayah yang amat zalim dalam kehidupan manusia iaitu pembuangan dan pembunuhan bayi, dan pengguguran janin. Ini dilakukan kononnya untuk menutup malu kerana perbuatan terkutuk yang mereka lakukan. Bagaimanakah nanti mereka akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas dosanya berzina dan dosa membunuh anaknya sendiri?

    Islam adalah din yang melindungi dan membela manusia, selaras dengan intipati ajarannya sebagai rahmat bagi sekelian alam. Banyak panduan yang boleh kita ambil samad dari al-Quran atau hadis Rasulullah SAW.

    Pernah di zaman Rasulullah SAW terjadi seorang wanita al-Ghamidiyah yang mengaku hamil selepas berzina dan meminta dilaksanakan hukuman hudud ke atas beliau. Namun Rasulullah SAW menangguhkan hukuman tersebut untuk memberi peluang bayi itu dilahirkan dengan selamat dan hukuman hudud dilaksanakan selesai tempoh penyusuan bayi yang dilahirkan itu. Pasangan lelaki yang terbabit dalam perzinaan secara sewenang-wenangnya lepas tangan dari apa yang berlaku. Di manakah janji-janji manis mereka semasa bermadu kasih? Tidakkah mereka malu pada diri mereka yang tidak mahu memikul tanggungjawab yang sepatutnya!. Hari ini, lelaki-lelaki durjana ini memang mampu menghilangkan diri, namun mereka perlu maklum bahawa selepas ini, mereka ini akan diheret ke mahkamah untuk diadili. Wanita yang menjadi mangsa nafsu buas mereka ini, wajar tampil membuat laporan, dan pembuktian kaedah DNA akan mengajar lelaki-lelaki ini arti tanggungjawab dan bukan membiarkan wanita yang menjadi mangsa keadaan.

    Kita juga wajar menjadi pembela kepada wanita malang ini dan menyelamatkan bayi yang tidak berdosa itu. Berilah peluang kepada bayi itu disambut kelahirannya oleh pasukan perubatan terlatih di premis kesihatan yang serba lengkap untuk mengendalikan sebarang kecemasan. Berilah peluang kepada ibu yang hamil penjagaan kehamilan yang sempurna untuk memastikan kesihatannya terjaga sepanjang masa.

    Kita tidak sewajarnya hanya tahu berlakunya kemungkaran, kerana masing-masing kita mampu berperanan. Setiap kita seharusnya memperkayakan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran membuat keputusan yang bijak, bertanggungjawab berkaitan aspek seksualitinya.

    Ini hanya boleh dilakukan oleh mereka yang mahu melihat kebaikan tersebar luas dalam masyarakat. Setiap individu tanpa mengira gender, usia, pangkat dan kedudukan mesti mempunyai daya tahan, disiplin serta integriti yang tinggi dalam mengendalikan emosi dan keinginan nafsu syahwatnya. Oleh kerana itu, pendidikan yang baik amat diperlukan di peringkat keluarga dan institusi umum dalam masyarakat.

    Setiap institusi keluarga hendaklah kembali membangunkan sistem nilai dan disiplin hidup yang mampu mengawal tingkah laku ahli-ahlinya, selari dengan bertambahnya cabaran yang menghakis nilai murni masa kini.

    Semua pihak hendaklah mengekang sebarang aktiviti dan kegiatan yang membuka peluang luas yang membawa kepada berlakunya perzinaan seperti pergaulan bebas, pengedaran filem dan video lucah, hiburan tanpa batas dan gaya hidup hedonistik yang menggalakkan penagihan dadah, alkohol dan seks.

    Setiap warga yang ada hendaklah dididik untuk kembali mengamalkan ajaran agama yang menekankan gaya hidup yang murni. Pembuagan bayi yang berlaku, jangan salahkan sesiapa, tapi lihatlah apa peranan kita.

    Oleh : UMMU HAMMAADAHTarikh Disiarkan : 27-May-2013
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 KOMEN:

    Catat Ulasan

    Komen bisdikita di sini tapi usai-usai pulang

    Item Reviewed: Pembuangan Bayi, Salah Siapa? Rating: 5 Reviewed By: Omarali Matjais
    Scroll to Top