Terkini
  • Terkini

    Isnin, 17 Jun 2013

    Projek Penyahgaraman Air Masin


    Projek Penyahgaraman Air Masin yang dilaksanakan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di lapan lokasi negeri ini merupakan satu lagi usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada penduduk pedalaman.

    Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek menelan belanja RM16 juta itu dikendalikan oleh pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di lokasi terlibat selepas mendapat latihan dan bimbingan daripada 1MDB.

    Beliau berkata, lima projek lokasi yang telah dibangunkan ialah di Beladin (Betong), Beting Maro (Batang Lupar), Kampung Penipah dan Bruit di Daro serta Telok Melano di Sematan.

    Katanya, kerja-kerja pembinaan sedang berjalan di tiga lokasi lagi iaitu Kampung Punang, Lawas; Kampung Lajong, Kuala Niah; dan Lubuk Samsun Simunjan yang dijangka siap hujung tahun ini.

    “Semua projek itu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijalankan secara berperingkat-peringkat bagi meringankan beban penduduk agar dapat menikmati kemudahan air bersih dan terawat,” katanya ketika melakukan lawatan kerja di lokasi terbabit di sini, kelmarin.

    Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Ketua Bahagian Perhubungan Awam 1MDB Mejar (B) Datuk Zahari Sulaiman, Setiausaha Politik Ketua Menteri Awangku Jamuddin Pengiran Kon, Pegawai Daerah Lawas Mohd Supaih Hamdan dan Jurutera Daerah JKR Lawas, Norman Jan.

    Awang Tengah menjelaskan, pelaksanaan projek luar bandar itu menunjukkan Perdana Menteri amat memahami keperluan penduduk di negeri ini yang memerlukan banyak kemudahan asas.

    “Kita juga berusaha memohon untuk mendapatkan bantuan bagi kawasan kritikal walaupun banyak lagi kawasan yang memerlukan bantuan kemudahan seperti ini, namun kita akan mengusahakannya secara berperingkat dengan alternatif yang ada,” katanya.

    Sementara itu, beliau menjelaskan projek Loji Rawatan Air Wilayah di Trusan akan mulai beroperasi sepenuhnya menjelang bulan Ramadan ini, sekali gus menangani kemelut bekalan air bersih yang dihadapi penduduk di Daerah Lawas.

    “Pada masa ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor melakukan ujian perjalanan semua sistem dan juga peningkatan kualiti air secara berperingkat bagi memastikan segalanya berjalan sempurna.

    “Kerja memperbaiki saluran paip dan keperluan lain akan ditingkatkan ke tahap maksimum menjelang bulan hadapan secara berperingkat sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti,” jelasnya.

    Menyentuh mengenai projek loji pakej bekalan air Punang, Awang Tengah berkata: “Projek bernilai RM11 juta itu dijangka siap menjelang Ramadan ini dengan keupayaan membekalkan dua juta liter air sehari kepada penduduk di sepanjang Jalan Punang dan Kampung Punang termasuk sebahagian kawasan bandar Lawas.”

    Pada masa ini, Lawas berdepan masalah bekalan air yang serius iaitu loji sedia ada hanya mampu membekalkan 7.5 juta liter air sehari berbanding permintaan sebanyak lapan juta liter sehari.

    “Permintaan bekalan air yang tinggi ini kesan daripada pembangunan dan perkembangan yang berlaku di daerah ini, selain masalah gangguan projek loji air di Loji Rawatan Air Wilayah di Trusan oleh pihak yang terpengaruh dengan hasutan pembangkang sehingga tergendala sekian lama,” katanya.

    Terdahulu, Zahari berkata, Projek Penyahgaraman Air Masin menggunakan kepakaran tempatan dan teknologi antarabangsa, General Electric (GE) itu melibatkan kajian serta pembangunan sistematik yang menyeluruh ke atas sumber air laut.

    Katanya, projek itu memberi tumpuan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat selain memupuk semangat perpaduan melalui interaksi di kawasan pengambilan air, sekali gus menyemai semangat kepunyaan terhadap harta kerajaan yang disediakan untuk kemudahan mereka.

    “Setiap isi rumah di kampung terbabit akan menerima tiga unit ‘Jerry Can’ dengan setiap satu mampu menampung 20 liter air untuk kegunaan memasak dan minum.

    “Kita tidak menggalakkan air ini disalahgunakan untuk kerja mencuci lantai atau membasuh pakaian kerana keperluan untuk minuman dan makanan adalah lebih utama, malah air ini mempunyai kualiti terjamin baik dan diperakui oleh pihak WHO,” tambahnya.

    Pada masa yang sama, projek ini telah pun memasuki fasa 90 peratus siap dan kerja pelaksanaan dijangka siap sepenuhnya pada bulan hadapan.



    Lapuran Mastura Ismail. Posted on June 17, 2013, Monday
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 KOMEN:

    Catat Ulasan

    Komen bisdikita di sini tapi usai-usai pulang

    Item Reviewed: Projek Penyahgaraman Air Masin Rating: 5 Reviewed By: Omarali Matjais
    Scroll to Top